Beberapa hari yang lepas saya menerima panggilan telefon daripada Pn Zainanor. Suka hati dan bersyukur sangat bila ada orang cerita pasal Bacalah Anakku. Berbaloi saya berhenti kerja kerana niat nak share dengan ibu bapa supaya anak-anak kita dapat membaca awal dan sekali gus mendapat ilmu yang banyak. Saya kemudian meminta Pn Zainanor emelkan ceritanya supaya menjadi inspirasi kepada ibu-ibu yang lain.
Assalamualaikum,
Saya mula menggunakan buku Bacalah Anakku pada tahun 1998. Pada waktu itu, harga 1 set ialah RM12.50, di Wilayah Persekutuan Labuan, untuk anak sulung saya. Saya dan suami saya, Encik Othman Mohd Tahir telah menggunakan kaedah pembelajaran Bacalah Anakku untuk 7 orang anak kami:
Noor Fatinullah – Diploma in English Communication, Kolej Profesional Mara Indera Mahkota. (Current GPA-3.81, CGPA 3.27)
Nur Syakina – Universiti Kuala Lumpur, Cawangan Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah. UPSR 5A, PMR 8A, SPM 11A
Nur Izati– Tingkatan 4, SBP Sains Hulu Terengganu. UPSR 4A, PMR 8A
Nur Asyiqin– Tingkatan 2. SBP Sains Sultan Mahmud. UPSR 5A
Nur Illya Umairah– Darjah 5 Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan, Kuala Terengganu
Muhammad Fierdaus-Darjah 4 Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan, Kuala Terengganu
Imad Dee Nejad-6 tahun
Dalam peperiksaan bulanan, pertengahan dan akhir tahun, anak-anak saya, Alhamdulillah mereka dapat keputusan yang cemerlang, sering mendapat tempat pertama.
Komen saya: A child who starts ahead, stays ahead. InsyaAllah.
Kesemua anak kami tidak pergi tadika dan hanya belajar di rumah menggunakan 100% buku ‘Bacalah Anakku’ sebagai panduan asas awal proses pembelajaran. Selepas anak-anak habis membaca buku yang ke 9, saya melatih mereka dengan membaca buku yang berbentuk ilmiah ringan seperti ensiklopedia bahasa Melayu. Buku ini lebih merupakan koleksi mengenai bencana alam yang sering berlaku seperti kejadian gempa bumi dan kejadian puting beliung. Kami sekeluarga suka menonton dokumentari terbitan National Geographic.
Bila memasuki sekolah Kebangsaan Tahun 1, anak-anak saya boleh menguasai membaca dengan lancar dan berkeyakinan. Kali terakhir kami berhubung dengan penulis buku Bacalah Anakku, Puan Nik Eliani pada Tahun 2000 berkaitan masalah anak ke 2 saya dalam penerimaan kaedah buku Bacalah Anakku. Alhamdulillah anak saya sudah boleh membaca dalam masa 21 hari serta dapat menguasai pembacaan yang mantap dan berkeyakinan.
Apa yang membanggakan kami pada tahun 2009, anak kedua, ketiga, keempat dan kelima yang bersekolah di sekolah rendah dan menengah, dalam kelas pertama, mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun. Kami akan mengesyorkan buku ‘Bacalah Anakku’ untuk anak-anak mereka sebelum memasuki tahun 1. Apabila menggunakan kaedah Bacalah Anakku, kaedah ini tidak membosankan anak anak malahan menyeronokkan mereka. Saya mengajar anak-anak saya tidak melebihi dari 30 minit sehari pada waktu pagi.
Kami juga tidak pernah sesekali menggunakan makanan tambahan seperti pil tambahan untuk merangsang minda. Hanya konsep berdoa dan usaha. Banyakkan latih tubi mengikut konsep sebenar peperiksaan setiap hari.
KONSEP TUISYEN AUNTY NOR (TAN)
Bermula pada tahun 2009, saya mula mengajar di rumah pelajar sendiri. Maknanya saya pergi ke rumah pelajar itu. Kebanyakan pelajar yang berjumpa dengan saya adalah pelajar yang lemah dalam 5 subjek teras UPSR. Purata pelajar adalah pelajar tahun 4,5 dan 6.
Sebelum memulakan aktiviti tuisyen ini, saya akan menilai kertas ujian murid yang terdahulu dan dari situ saya akan dapat megetahui dan mengesan kelemahan murid. Secara amnya, subjek Matematik punca kelemahan diikuti Bahasa Inggeris . Konsep tuisyen TAN akan mulakan subjek Matematik sehingga benar-benar boleh menguasai subjek yang lemah dalam masa sebulan. Kemudian barulah saya teruskan ke subjek yang lain. Majoriti pelajar dari kelas belakang dan selalu mendapat C,D dan E. Saya tidak pernahberputus asa dan begitu juga dengan pelajar-pelajar yang belajar dengan saya. Saya selalu memotivasikan mereka. Sebagaiman kami mengasuh dan mendidik anak-anak kami dengan teras KEIKHLASAN.
Komen saya:
Terima kasih Pn Zainanor di atas perkongsian. Semoga usaha puan dan suami di terima Allah sebagai ilmu yang dapat dimanfaatkan dan kita pula mendapat inspirasi daripada usaha gigih Pn Zainanor. Semoga keluarga puan di bawah payung rahmah Allah sentiasa. Amiin.