SAMBUNGAN:
3. GO SLOW
Anak disleksia memerlukan lebih masa untuk mempelajari apa saja. Ajar mereka sikit-sikit tetapi berulang kali menggunakan teknik pengajaran pelbagai deria kerana anak Disleksia lemah ingatan visual dan/atau ingatan auditorinya.
Mengajar 1 bunyi:
Guna kad huruf kecil dahulu. Gunakan kad huruf Abu Ada Ayam, besar dan berwarna merah. Walau bagaimana pun ada sesetengah penglihatan anak-anak disleksia yang tidak tahan silau. Warna merah tidak sesuai untuk mereka.
Untuk mengajar 1 bunyi, sebagai contoh /a/, pelbagai aktiviti sensori perlu dilakukan. Sebut /a/ banyak kali dengan intonasi yang berbeza – kuat, perlahan, nyaring, garau. Kaitkan bunyi /a/ dengan aksi asosiasi ‘terkena panas api’ ( diajar dalam kursus). Buat huruf ‘a’ dengan doh, tulis ‘a’ dengan jari, sentuh huruf berpasir ‘a’, tekap/salin/tulis huruf ‘a’ , tulis ‘a’ besar di atas udara untuk merangsang memori otot ( muscle memory ). Pastikan anak menulis dan membentuk huruf sebagaimana huruf ditulis. Latih anak menceritakan ( describe ) rupa dan bentuk huruf ketika menulis dan membentuk huruf dengan doh. Sebagai contoh, /a/ melengkung macam telinga cawan, kemudian ada tiang pendek.
Ulang, ulang, ulang.
Kemudian barulah ajar bunyi seterusnya, i dan u sebagaimana di atas.
Mengajar membaca dengan gabung bunyi:
Mulakan gabungan bunyi /b/ dan /a/. Tunjukkan dengan kad bergerak, buat aktiviti Lihat dan Buat dan Dengar dan Buat ( diajar dalam kursus ). Buat ‘ba’ dengan doh. Tekap / Salin / Tulis ‘ba’. Galakkan anak Disleksia sebut bunyi sambil membuat aktiviti gabungan. Sebagai contoh latih mereka menyebut /b … a, ba /.
Ulang, ulang, ulang. PENGULANGAN mestilah BERMAKNA kerana anak disleksia mengalami masalah memproses maklumat yang baru masuk dan pada masa yang sama mengambil maklumat dari stor ingatan jangka panjang.